03 July 2011

Di Sebalik Nama URL

Boleh dikatakan ramai yang belum tahu apa itu PseudoSains (ruangan ini). Sebelum itu, aku huraikan apa itu Sains dan Pseudosains. Sains dirujuk sebagai sistem ilmu pengetahuan yang diperolehi melalui kajian yang mendalam dengan kaedah saintifik melalui pemerhatian, hipotesis, ramalan dan eksperimen. Ia terdiri daripada beberapa pecahan di mana sains fizikal, sains hayat dan sains bumi adalah pecahan utama yang tulen. Hasil gabungan daripada ceruk ilmu yang lain seperti Matematik contohnya menghasilkan pecahan kecil seperti bidang kejuruteraan, teknologi dan lain-lain. 

Pseudosains pula dikaitkan kajian yang tidak menggunakan 100% kaedah saintifik di mana ia lebih kepada praktis dan amalan yang dikatakan sebagai saintifik tetapi tidak mematuhi kaedah saintitifk, bukti-bukti yang boleh menyokong praktis tersebut atau tidak dapat diuji. Secara rumusannya ia adalah teori dan hipotesis yang tergantung. Ceruk Pseudosains (nama lain adalah sains palsu) tidak digemari oleh ahli sains tulen memandangkan Pseudosains membawa konsep yang meragukan untuk diiktiraf sebagai Sains. Keliru? Secara mudahnya Sains itu menggunakan kaedah saintifik yang diperakui tetapi Pseudosains lebih kepada teori sains yang dicampuri perspektif lain yang tidak diperakui.

Contoh-contoh Pseudosains adalah seperti;
  • Susunan bintang di langit yang membuahkan idea kepada zodiak yang berkaitan dengan perilaku, nasib dan kehidupan manusia.
  • Kewujudan hantu dengan cubaan mengesannya melalui alat pengesan daya elektro-magnetik.
  • Perubatan alternatif seperti homopati dan akupuntur. 

Oleh itu, blog ini dinamakan PseudoSains kerana ia mengetengahkan kedua-dua elemen iaitu Sains dan Pseudosains dan kami akan cuba menyampaikan kedua-dua elemen ini dalam gaya bahasa yang lebih mudah difahami.




Share |

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...