30 April 2011

Rasional

Masa kecik dulu, kalau aku request air kotak kat Abah aku, Abah aku akan belikan aku air kotak perasa laici. Lebih kurang macam kat bawah ni la


Boleh kata tiap kali mintak beli air kotak, perasa laici tu la yang Abah aku beli. Masa aku kecik dulu Abah aku garang, so aku tak berani nak tanya pasal apa balik2 air laici je yang aku dapat.

Dah besar sikit, mungkin dalam 4-5 tahun lepas aku nak belikan air kotak untuk Abah aku.

"Abah, nak minum air apa?"

"Beli laici la. Yang tu tak ada pewarna"

Akhirnya aku tau ape rasional Abah aku belikan air laici je tiap kali aku mintak air kotak masa kecik2 dulu. Rupanya dia tak nak aku minum air perasa lain yang bercampur dengan pewarna tiruan.

Kemudian aku sambung pengajian aku kat UiTM. Pesan seorang Professor sebelum final exam,

"I understand u're not medicinal chemistry expert, but what i want to see from ur answer is good reasoning & rationalization. A wrong answer with good reasoning is much better than a correct answer with bad reasoning"

Aku sekarang dah kerja. Time kerja sekarang ni pulak banyak berkait dengan ubat-ubat. Ubat-ubatan ni bukan macam gula-gula yang boleh dikunyah bila-bila masa ikut suka - tiap kali sejenis ubat diberi kepada seseorang - mesti ada sebab dan rasional ubat tu diberi kepada orang tu. Begitu jugak dengan doktor - bila doktor nak buat keputusan untuk tentukan ubat apa yang patut mereka beri pada pesakit, setiap ubat yang diberi tu mesti berdasarkan keputusan yang rasional. Sebagai contoh, ubat antihypertensive ada banyak jenis - ada beta blocker, ada angiotensin converting enxyme inhibitor, ada alpha adrenergic blocker, ada angiotensin receptor blocker. Dalam setiap situasi dan keadaan pesakit, ada sesetengah ubat boleh diberi ada yang tak boleh. Sebagai contoh perempuan mengandung yang ada darah tinggi - ada tiga jenis ubat antihypertensive yang sesuai - labetalol, methyldopa dan nifedipine - kalau bagi ubat jenis angiotensin converting enzyme inhibitor boleh menyebabkan kecacatan janin. Kalau lelaki muda diberi ubat antihypertensive jenis beta blocker lebih2 lagi yang non selective macam propranolol, maka ada kemungkinan dia akan bergaduh dengan girlfriend atau isteri dia sebab ubat jenis beta blocker boleh menyebabkan erectile dysfunction.

Rasional dan alasan merupakan perkara asas yang penting dalam membuat keputusan secara saintifik. Sebarang tindakan yang tak bersandarkan kepada rasional merupakan perkara yang tak boleh diterima dan selalunya membawa kepada masalah. Untuk membuat keputusan yang rasional - perkara penting yang perlu ada ialah pengetahuan. Semakin banyak pengetahuan yang kita ada, semakin mudah untuk kita beri justifikasi dan sebab kita memilih sesuatu keputusan. Bukan dalam bidang sains je, dalam bidang pengurusan dan bila kita berada di posisi yang memerlukan kita membuat keputusan - kebolehan membuat keputusan secara rasional tu penting.

Malangnya kebolehan untuk membuat keputusan rasional kurang ditekankan dalam KBSM dan KBSR - sebab KBSM dan KBSR cuma menumpukan kepada membaca, mengira dan menulis.

Walaumacam mana pun kemahiran membuat keputusan secara rasional ni bukan la susah pun. Sebab kadang kadang perkara tu berkait dengan logik aje pun - macam rasional Abah aku sentiasa belikan aku air kotak perasa laici - sebab air laici takde pewarna. Senang je.

Last sekali, aku pernah tengok nota-nota Abah aku masa kat universiti, termasuk kerja-kerja kursus yang Abah aku kena buat. Ada yang berkait dengan biokimia, bio mechanic, stress and muscle. Abah aku dulu belajar dalam pengkhususan Pendidikan Jasmani.

Aku tanya pada Abah aku, "Kenapa Abah ambik kursus Pendidikan Jasmani ni, kalau ambik kursus lain macam Bahasa Melayu ke, kan lagi senang belajar. Ni sampai belajar bio mechanic, macam susah je Abah."

Abah aku jawab, "Time belajar dekat universiti je susah. Dah habis belajar,kerja jadi cikgu PJ ni paling senang time kerja sebab bila waktu PJ, bagi bola sebijik kat budak2, pastu duduk jela kat tepi padang tengok budak2 tu berebut bola sebab bagi bola sebijik je. Habis masa suruh dorang berhenti."

Hahaha



Share |

25 April 2011

Marah dan Terapi




Bismillah. 
(profesor saya selalu sebut kalimah ini dengan tone suara sederhana kuat sebelum memulakan pengajaran, jadi saya mahu titipkan di sini, tapi dalam bentuk tulisanlah)

Daripada Abu Hurairah: Seorang lelaki berkata kepada Nabi: Nasihatilah aku, (Nabi) berkata: Janganlah kamu marah. Lelaki tersebut berulang kali meminta nasihat, berkata (setiap kali): Janganlah kamu marah.
(Hadith riwayat al-Bukhariyy, )

Saya ada seorang kenalan, yang merendam marah di dalam hatinya (kerana perihal rumah tangga yang tak pernah selesai) sehingga mendatangkan banyak penyakit. Nabi kata, punca penyakit adalah perut. Mungkin ada kaitan apabila marah, kita lempiaskan pada perut. Kita makan sehingga naik sebu perut, semuanya marah punya pasal. Marahkan kerajaan, kita makan lembu subsidi. Marahkan kawan-kawan kita ‘makan’ tembakau. Marahkan cinta tak kesampaian kita makan pil-pil dadah.

Marah ternyata boleh membunuh. Kajian mendapati seorang pemarah berisiko tinggi untuk mendapat stroke, sakit jantung dan kematian mengejut. Semuanya marah punya pasal, padahal Nabi sudah kata, Jangan Marah. Saya pula tambah, janganlah marah sayang.. *senyum*

Jadi apa kesan amarah terhadap diri? Emosi stress dan rasa marah akan merangsang pengeluaran hormone cortisol. Sedikit pengeluaran hormone ini boleh mencetuskan rasa bertenaga. Walaubagaimanapun, rembesan hormone yang berpanjangan boleh menyebabkan ketidak seimbangan gula dalam darah, merendahkan kemampatan tulang, menurunkan imunisasi badan – menjurus kepada inflamasi / radang kronik, memperlahankan metabolisma badan, member kesan kepada kemampuan otak berfikir secara waras dan meningkatkan tekanan darah tinggi. 

Perubahan secara fizikalnya, denyutan jantung akan naik mendadak daripada 80 kepada 130 dan mungkin lebih tinggi. Pernafasan semakin cepat, di mana saluran darah akan mulai mengembang (vasodilatation) – mata memerah, otot menjadi tegang (hee.. huduh bebebor muka awak bila marah, tahu?). Mulalah asid asid dalam perut dirembes keluar lalu menyebabkan acid reflux – asid mengalir kembali ke dalam esophagus dari perut dan menyebabkan pedih ulu hati.

“Mengawal diri adalah lebih susah daripada melawan seorang musuh.”
Oleh sebab itu Rasulullah saw menasihati kita supaya berpaling daripada rasa amarah. Sesiapa yang tahu banyak perkara negatif yang boleh diundang dari rasa marah akan menghargai nasihati Nabi iaitu “Jangan sesekali marah” . Kata kata sahaja tidak akan menjadi jika tiada perbuatan. Jadi Rasulullah bekalkan beberapa terapi untuk menghilangkan rasa amarah iaitu dengan cara:

Daripada Abu Dzar berkata sesungguhnya Rasulullah bersabda kepada kami: Apabila seorang diantara kamu marah dan (dalam keadaan) dia berdiri,maka (hendaklah) dia duduk, maka sesungguhnya akan hilanglah kemarahan daripadanya, namun jika tidak,maka (hendaklah) dia berbaring.
(Hadith riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Adrenalin dan Noradrenalin.
Terdapat dua kelenjar di setiap satu buah pinggang yang mana tugas utama mereka adalah menghasilkan hormone adrenalin dan noradrenalin. Adrenalin boleh menyebabkan mereka yang menghidapi penyakit jantung dan dalam keadaan marah boleh menyebabkan denyutan jantung bertambah lalu menjuruskan kepada serangan jantung. Manakala bagi pesakit  darah tinggi pula, kenaikan ratio kedua jenis hormone ini secara mendadak boleh menyebabkan hipertensi (hypertension lah). Akhirnya, hal ini secara saintifiknya terbukti bahawa ratio/nisbah kedua dua jenis hormone ini boleh berkurangan apabila pesakit berada di dalam keadaan berbaring seperti mana yang telah disarankan oleh Nabi Muhammad saw. 

Dan bagi kita yang sedang menghadapi orang yang sedang marah, senyumlah sampai nampak gigi. Sesungguhnya kerana sinar gigi putih Nabi Muhammad saw sewaktu kelahiran baginda lah, api sembahan majusi terpadam. Mungkin jika terkena panahan sinaran gigi kita, api kemarahan seseorang boleh terpadam, kan? Dan ya, satu lagi, tingkatkan hormon serotonin, yang mampu 'memadam' kemarahan si dia. Ini kerana serotonin membantu kita untuk kekal gembira. Lakukan aktiviti2 yang menyeronokkan dan melegakan si dia. Semoga berjaya.

Until next time.



Share |

24 April 2011

Serapah sumpahan (puaka bumi)



I

kerikil
pasir
liat
humus
gambut
aku seru diri mu
tujuh lapis bumi
tujuh lapis pawaka
tujuh lapis pawana
tujuh lapis lautan
biar sejengkal datar dikerunas orang
sembilan nyawa galang gantinya
suburlah asalku!
menegak teduh
menyubur benih
memecah tapak
hidup biar berputih tulang
jangan senteng dikandung hayat

II

Akulah jembalang hitam
Raja segala jembalang putih
Aku beraja dalam alun
Serapah, ancak, kemenyan
Jembalang angin
Jembalang tanah
Jembalang api
Jembalang air
Tunduk kalian kepada kami
Onar ditempah, celaka menimpa

III

Akulah raja segala besi
Akulah Khurasani
Besi berkilau
Aku adalah satu di dalam tujuh
Aku adalah tujuh di dalam satu
Nun di lapis bumi
Ketahuilah anak ku
Ada bijih memancar
Ada bijih sakti
Ada bijih bisa
Jangan dicabar jembalang tanah
Kelak celaka tujuh keturunan

IV

Aku generasi asal
Aku generasi sains dan teknologi
Kita wujud dalam dunia material
Mana ada jembalang
Mana ada puaka
Mana ada sumpah
Kita bertuhankan dollar
Usah dirisau hydroxonium
Usah difikir isotope
Usah bimbangkan alpha, beta mahu pun gamma
Kita bina penuras bisa
Kita hulur racun berbisa
Andai ditimpa acute leukemia
Kita ada jurutera genetik
Kita mampu buang kromosom yang catat
Kita manusia yang utuh
Lebih kuat dari jembalang ciptaan
Moyang dan buyut
Ayuh! Teruskan membijih
Teruskan
Teruskan
Demi ekonomi
Bukankah buyut pernah berpesan
Jangan hidup senteng
Bukan mudah FDI nak masuk
Bukakan kangkang bumi mu
Agar rakus ditujah kapitalis
Hasilnya melimpah membukit
Sampai 77777777 keturunan pun
Takkan habis

V

Kalian anak asal
Aku tahu asal mu
Aku tahu dampit mu
Andai serapah jadi mainan
Makanlah sumpah ku!
Bumi bersinar memancar petaka
Pawana beralun membawa santau
Air bisa penyambung nyawa
Pawaka membara membakar raga
Kusumpah 7 keturunan mu
Mati dimakan sumpah


Didedikasikan buat seluruh rakyat Pahang di Gebeng, tempat syarikat Lynas dalam perancangan membangunkan kilang rare earth yang berpotensi membawa arus sisa toksik yang bakal menimpa bala kepada rakyat sekalian.


Share |

23 April 2011

Mari belajar melalui filem



Kita tengok situasi kat atas. James Bond yang kerek dan bodoh sombong sebab reveal identity dia akhirnya terkena santau. Santau orang putih kurang kejam berbanding santau Melayu - budaya Melayu yang disaduri oleh budaya Hindu yang berbelit menyebabkan santau Melayu akan menyebabkan orang yang terkena menderita bertahun-tahun sebelum mampus. Orang putih sangat straight forward - you fucked up with me, you die straight away. Dalam kes di atas, James Bond yang mula menang judi menyebabkan tahi judi Le Chiffre offended, jadi le Chiffre pun mengupah sorang awek meracun James Bond dengan sejenis bahan kimia yang bernama digoxin.

Digoxin merupakan sejenis bahan kimia yang jugak digunakan di hospital dan klinik perubatan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit jantung seperti atrial fibrillation dan atrial flutter - mintak maaf dekat universiti aku belajar sains dalam English, lol. Atrial fibrillation ni keadaan di mana denyutan jantung tak mengikut ritma yang sepatutnya, katakan jantung berdenyut setiap 0.3 saat, orang yang ada atrial fibrillation jantung dorang berdenyut kejap2 setiap 0.3 saat, pastu 0.57 saat pulak, berubah2. Atrial flutter pulak keadaan di mana jantung berdenyut terlalu cepat melampau, contoh kalau orang lain berdenyut tiap 0.3 saat dia pulak setiap 0.05 saat. Untuk kedua-dua masalah jantung ni, memang digoxin boleh dijadikan nurbisa lah untuk penyakit ni. Digoxin mempunyai dua sifat terhadap otot jantung - positive inotropic (menguatkan contractility/regangan otot jantung) dan negative chronotropic (mengurangkan kadar denyutan jantung). Jadi dalam kes atrial fibrillation dan atrial flutter - sifat digoxin yang mengurangkan denyutan jantung menyebabkan digoxin jadi pilihan untuk rawatan kedua2 masalah perubatan ni.

Tapi dalam kes James Bond kat dalam filem Casino Royale - dia diberi digoxin secara berlebihan. Agak pelik jugak macam mana dia boleh tak sedar ubat tu dalam arak yang dia minum, sebab digoxin ni memang pahit nak mampus. Bila overdose, degupan jantung akan jadi berkecamuk, kepala pening, rasa nak muntah dan sakit badan. Oleh demikian memang teruk rasanya bila makan digoxin secara overdose. 

Dalam hospital, doktor akan beri IV infusion (suntikan ubat secara perlahan-lahan dalam tempoh tertentu) atau secara bolus (suntik sekaligus terus) sejenis antidote yang dinamakan digoxin specific Fab antibody. Ubat anti arrhythmia (ubat untuk masalah denyutan jantung tak seragam) seperti lidocaine dan phenytoin jugak boleh diberi. Prosedur astric lavage (pembersihan perut) juga akan dijalankan oleh doktor. Dalam cerita James Bond ni, ape yang geng2 MI6 ajar James Bond tu dah betul dah - memang takde ubat lain dah, so dia cucuk tengkuk dia dengan lidocaine. Tapi nak tekan defibrillator tak sempat, nasib baik ade awek cun tolong dia. Cis!

Jadi kesimpulannya, kalau nak mati, jangan buat poyo konon nak terjun KB Mall atau telan panadol dengan harapan korang akan mati. Telan la digoxin satu papan, lol.



Share |

Jawapan Riddle of heaven and hell

Jawapan yang dicadangkan: "Brader, kalau aku tanya mamat sebelah tu yang mana satu pintu syurga, dia tunjuk pintu mana?"

Katakan pintu syurga dijaga oleh penjaga A. Penjaga A sentiasa berkata bohong. Pintu neraka pulak dijaga oleh penjaga B yang sentiasa bercakap bohong.

Bila soalan kat atas ditanya kepada penjaga A, dah tentulah penjaga A akan tunjukkan ke arah pintu neraka - sebab dia sentiasa berbohong. Bila penjaga B ditanya soalan yang sama, dia akan tunjukkan ke arah pintu neraka juga, sebab penjaga A takkan bercakap bohong, jadi tentu penjaga A akan tunjukkan pintu yang salah.

Bila kedua-dua penjaga pintu menunjukkan ke arah pintu yang sama maka pilihlah pintu yg tak ditunjuk oleh kedua-dua penjaga tu.

Jawapan Mat Rasta tu pun pada aku okay jugak - kalau kedua-dua penjaga tu bertuhankan Allah, dah tentu salah satu daripada penjaga tu mengaku Tuhan dia bukan Allah.

Tak ada halangan untuk beri cadangan kepada jawapan riddle ni. Asalkan jawapan tu ada justifikasi - ada alasan yang kukuh, maka jawapan tu boleh diterima.

Dalam sains - saintis sentiasa perlu memberi justifikasi kepada penyelesaian, jawapan atau rancangan yang mereka kemukakan.



Share |

Frekuensi Gelombang Otak

Otak manusia mempunyai jaringan yang paling banyak menggunakan tenaga  berbanding organ lain terutamanya  proses yang melibatkan metabolisme pengoksidaan dan glukosa; oleh itu otak kita sangat sensitif akan perubahan kuantiti oksigen dan glukosa dalam darah. Jadi adalah normal untuk kita berasa lapar apabila memaksimakan penggunaan otak sama ada ketika kita belajar, berfikir, berbincang atau berdebat, dan membuat pekerjaaan yang melibatkan pemikiran kritikal.

pada zaman dahulu, otak hanya dikenali sebagai pengisi tengkorak di mana jantung dianggap sebagai minda.
Mengikut kajian dalam mengkaji gelombang otak manusia, otak menghasilkan lima jenis gelombang otak iaitu Alpha, Beta, Delta, Gamma dan Theta. Otak turut menghasilkan impuls elektrik yang terjana melalui penggunaan otak dalam keadaan tertentu dalam melalui lohong-lohong yang berlingkar dalam tengkorak kita ini serta mempunyai frekuensi Hz yang berbeza-beza sama ada dalam fasa sedar, rehat, panik, berfikir, dan yang seangkatan dengannya. Ia boleh diukur dengan alat pengukur gelombang otak iaitu EEG (Electrocenphalograph).

Gelombang otak Alpha
Gelombang otak Alpha melambangkan aktiviti istirahat yang berlaku dalam otak kita seperti baring-baring melayani khayalan di atas katil, melepakkan diri di taman menonton panorama indah dan seangkatan dengannya. Ia terhasil apabila badan kita berada dalam keadaan rehat dan minda kita dikosongkan daripada hal-hal yang boleh menyebabkan kita stress, panik dan gundah. Gelombang ini juga turut menggalakkan penghasilan Serotonin yang biasanya berada di bawah paras normal apabila berada dalam tertekan. Gelombang ini menggalakkan pemikiran yang positif, kreatif dan emosi yang terkawal. Dalam pembelajaran yang lebih berkesan, ia menggalakkan otak kita untuk mudah mengingat dan memahami maklumat secara pukal kerana gelombang otak Alpha menghubungkan otak kanan dan otak kiri.

#Cara-cara nak mempertingkatkan gelombang otak Alpha
  • Meminum alkohol di mana ia akan meningkatkan gelombang secara dinamik dan salah satu punca kenapa peminum tegar ketagih dengan alkohol kerana mereka perlu minum demi untuk mencapai kondisi dinamik gelombang otak Alpha. Tapi ini tidak bagus untuk kesihatan jangka panjang dan haram untuk umat Islam meminum alkohol kerana memabukkan. Contoh lain yang berfungsi seperti alkohol ialah marijuana.
  • Bermeditasi mengikut amalan agama masing-masing. Contohnya seperti agama Islam, membaca Al-Quran, mendengar bacaan Al-Quran, berzikir dan lain-lain meningkatkan gelombang otak Alpha.
  •  Menutup mata dan cuba membayangkan visual dengan lebih jelas turut meningkatkan gelombang ini serta mengamalkan pernafasan dalaman menggalakkan peningkatan oksigen ke otak.
  • Merehatkan diri menikmati pemandangan alam, atau pun mandi lama-lama dalam sungai/kolam mandi atau pun tepi taman sudah memadai untuk mendapatkan kondisi yang menenangkan diri.
Gelombang otak Beta
Secara tipikalnya, gelombang otak Beta dihasilkan oleh otak kiri. Setiap kali anda menyelesaikan masalah matematik, membaca buku, berfikiran kritikal, bermain catur mahu pun bermain permainan yang melibatkan strategi, atau tengah menjawab soalan peperiksaan, maka mencanak-canaklah gelombang otak Beta ini. Para dewasa kebiasaannya mempunyai gelombang ini lebih kuat daripada kanak-kanak dan remaja memandangkan kanak-kanak lebih dikuasai oleh gelombang otak Alpha.

Gelombang otak Beta berkaitan dengan kebolehan untuk berfikir secara kritikal, fokus dengan dalam sesebuah perkara yang logical dan terikat dengan realiti. Akan tetapi, gelombang yang terlebih paras normalnya menyebabkan tekanan tinggi, keraguan yang melampau, cepat gementar. Banyak kelebihan gelombang ini kerana ia boleh menyebabkan anda untuk berfikir dengan pantas dalam menyediakan penyelesaian masalah secara logikal. 

Gelombang otak Delta
Gelombang otak Delta merupakan frekuensi yang paling perlahan dan hanya aktif apabila kita berada di dalam peringkat tidur yang ketiga dan keempat serta berkaitan dengan keadaan bawah sedar di mana anda tidak akan ingat apa-apa apabila gelombang otak Delta menguasai. Mengikut kajian, mereka yang mempunyai kuantiti gelombang otak Delta yang tinggi mempunyai bahagian empati yang tinggi.

[Pastinya apa yang aku katakan selepas ini para wanita suka] Gelombang ini apabila ia mencanak-canak, akan menghasilkan hormon anti-cepat tua. Tambahan pula, ia menolong memulihkan minda kritikal, membaiki otot-otot, dan menggalakkan pertumbuhan normal hormon, menghasilkan Melatonin dan mengaitkan intuisi dan spiritual secara lebih mendalam serta mengurangkan tahap adrenalin.

Gelombang otak Gamma
Gelombang otak Gamma yang berfrekuensi paling laju berbanding yang lain merupakan gelombang otak yang boleh mengaitkan dan memproseskan kesemua bahagian dalam otak. Ia berkaitan tentang tahap kecerdasan yang tinggi, kebolehan mengawal diri yang tinggi, ingatan yang kuat, tingkat tinggi persepsi terhadap realiti dan perasaan gembira yang semula jadi. Mereka yang kekurangan gelombang otak Gamma ialah mereka yang kurang cerdas dan biasa-biasa sahaja.

Gelombang otak ini mencanak-canakkan persepsi anda tentang realiti melalui pancaindera anda. Ia menyebabkan boleh menghidu dengan lebih baik, membayang visual dengan lebih jelas, menajamkan pendengaran, dan rasa lidah menjadi lebih kuat dalam merasai makanan. Dalam erti kata lain, gelombang ini menguatkan pancaindera lebih baik daripada mereka yang kekurangan gelombang otak Gamma kerana ia mampu menggabungkan pancaindera anda menjadi satu dalam sesuatu keadaan. 

Gelombang otak Theta
Gelombang ini adalah yang kedua paling perlahan dalam kesemua frekuensi dan berkaitan dengan peringkat pertama dan kedua tidur, tidur siang dan proses bermimpi. Ia mendominasikan otak kita apabila kita tidak berupaya untuk menumpukan perhatian. Mereka yang mempunyai masalah masalah kesukaran memberi perhatian utk tempoh yg lama (ADD dan ADHD) tidak mampu untuk keluar dari keadaan Theta tersebut apabila kejadian tersebut memerlukan lebih fokus. Secara majoritinya, manusia mudah menukar kondisi gelombang otak mereka daripada Beta ke Alpha ke Theta dan sebaliknya di mana pemfokusan mental yang tinggi diperlukan.

Kanak-kanak secara signifikannya mempunyai kuantiti yang lebih tinggi dalam gelombang otak Theta menyebabkan mereka tidak mudah tertekan berbanding orang dewasa dan menjadikan mereka lebih mudah meluahkan apa yang berada dalam minda mereka dan berani mencuba sesuatu yang baru. Gelombang ini menghubungkan minda separa sedar dalam menyelesaikan masalah dan memprogram semula otak anda dengan idea dan kepercayaan ke atas sesuatu yang anda mahu percaya. Mereka yang mempunyai gelombang otak Theta maklum diketahui sebagai mereka yang berfikir lebih kreatif berbanding yang lain dan cepat tangkap dalam mempelajari sesuatu terutamanya linguistik.

__
Oleh yang demikian, kita semua punya frekuensi yang berbeza dalam mengaplikasikan penggunaan otak dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Frekuensi gelombang otak boleh dimanipulasikan secara maksima untuk meningkatkan upayaan otak. Untuk meningkatkannya, perkara pertama yang anda harus lakukan ialah dengan mencari jawapannya.

inspirasi: menjadi tikus makmal 



Share |

22 April 2011

Makan

Nama aku Karl, dan aku nak buat pengakuan - aku suka makan & minum. Makan dan juga minum (sebenarnya minum merupakan takrifan kepada aktiviti makan bila membabitkan makanan yang berbentuk cecair) merupakan aktiviti yang membawa kepada keselesaan pada tekak, salur esofagus dan perut. Ditambah pulak dengan persekitaran kehidupan aku yang lahir di negara yang berbilang kaum menyebabkan terdapat pelbagai variasi dalam penyediaan hidangan makanan dan minuman. Sebagai contoh, bijiran berkabohidrat tinggi iaitu nasi. Bayangkan dalam komuniti Melayu sendiri, terdapat pelbagai jenis variasi masakan nasi - Nasi goreng, nasi minyak, nasi kerabu, nasi dagang, nasi tomato, nasi bukhara, nasi briyani gam, nasi kandar. Macam - macam jenis nasi. Tak perlu cerita tentang apa yang terjadi pada ayam, itik, kambing, lembu, udang, ikan, sotong yang mana betapa susah untuk menduga nasib mereka bila dijadikan masakan untuk santapan manusia di negara ni - boleh jadi akan direbus, dipanggang, dimasak rendang, masak celur tepung, masak berlada, masak kicap, masa "sweet sour". Tambah pula dengan segala jenis manisan dan kuih - pulut durian, puding buah, puding caramel, kuih pelita, bubur kacang, kek lapis, donut, karipap. Waktu hari perayaan - lain pulak format makanan yang bakal dihidang. Kalau korang bernasib baik dilahirkan dalam keluarga yang mampu merasa bermacam jenis makanan macam yang aku senaraikan tu, kalau tak semua mungkin 80% - maka memang korang manusia yang tak pernah hidup susah dan target paling senang dan rapuh untuk dimusnahkan.

Makan merupakan kebolehan yang dikurniakan kepada manusia, secara saintifiknya (atau secara atheistnya,sebab sains menolak kewujudan Tuhan) untuk memperoleh sumber tenaga dan nutrien bagi proses metabolisma dalam badan. Lihat komponen dalam makanan kita - karbohidrat, protein, lipid (minyak), vitamin, air. Karbohidrat akan dipecahkan menjadi glukosa, dan glukosa merupakan bahan bakar utama dalam badan untuk menghasilkan molekul tenaga kimia yang digelar adenosine triphosphate (ATP). Protein akan dipecahkan menjadi asid amino, yang jadi batu bata yang membina komponen kimia dalam badan - ada yang jadi hormon, ada yang jadi neurotransmitter (bahan kimia untuk kelancaran fungsi saraf), ada yang jadi DNA. Lipid pula jadi bahan simpanan tenaga, jadi hormon estrogen, progesteron atau testosteron, jadi bahan binaan sel-sel badan. Vitamin pula pelbagai fungsi - jadi bahan peneutral bahan toksik dalam badan, jadi co-factor (pembantu dalam tindak balas metabolisma) enzim dalam badan, menolong menguatkan tulang, membantu proses pembekuan darah. Air pulak jadi menjadi unsur pengangkut dalam badan - sebagai komponen utama dalam darah, jugak komponen dalam semua bendalir badan, air mata, air mani, air tulang belakang. Semua bahan-bahan biokimia ni diperoleh melalui sumber makanan. Sumber makanan pula paling menyenangkan jika diambil melalui aktiviti makan. 

Perkara yang berlebih-lebihan selalunya membawa kepada kesakitan dan sengsara. Berlebih-lebihan sayang, kelak ditinggal jiwa merana. Berlebih-lebihan bermain kata "I love you", "cayunk", "rindu", "ayang", nanti meledakkan libido, bila akal diletak di kepala takuk dan hujung klitoris, akhirnya tercampaklah bayi Homo sapien ke dalam sungai. Begitu jugak la dengan aktiviti makan. Sistem tubuh badan kita merupakan sistem kejuruteraan yang jauh terkedepan melangkaui zaman dan masa. Macam yang aku tulis kat perenggan atas, gula tak ubah macam petrol dalam badan manusia sebab tenaga dalam badan dijana melalui proses glikolisis (glycolysis - mintak maaf, dulu saya belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu). Glikolisis merupakan proses pemecahan molekul gula untuk menghasilkan tenaga dalam badan. Gula dalam bentuk yang ringkas iaitu glukosa, perlu berada dalam paras kepekatan yang tertentu dalam darah untuk memastikan semua otot, sel dan organ dalam badan menerima bekalan glukosa yang mencukupi untuk proses penghasilan tenaga. Bila paras gula dalam darah menurun, sistem sensor biologi (tak ubah macam logic gate dalam sistem elctronic) dalam badan akan mengesan penurunan paras gula dalam darah, seterusnya mengaktifkan proses yang akan meningkatkan semula paras gula dalam darah - penghasilan hormon glukagon yang menolong pemecahan gula di hati (hepar), pengaktifan dan pengeluaran hormon adrenalin dan noradrenalin yang membantu meningkatkan paras gula juga pengeluaran cortisol daripada ginjal. Sebaliknya bila paras gula terlalu tinggi dalam darah - sistem sensor biologi insulin akan dilepaskan ke dalam salur darah daripada pancreas untuk membantu penyerapan glukosa ke dalam sel-sel badan. 

Makan yang berlebihan - bermaksud membekalkan glukosa kepada badan secara berlebihan. Glukosa yang dibekal secara berlebihan akan menyerap masuk ke dalam darah, menyebabkan paras glukosa dalam darah menjadi tinggi dan mendorong pengeluaran insulin. Kalau terlalu kerap paras glukosa tinggi di dalam darah akan menyebabkan paras insulin pun turut menjadi tinggi dan melepasi tahap normal dalam darah sebab insulin akan dirembeskan berdasarkan tahap kepekatan gula dalam darah. Bila sel-sel badan, otot dan organ telah terbiasa terdedah dengan insulin pada kepekatan melebihi tahap normal, lama-kelamaan sel-sel dan otot-otot badan akan menjadi kebal terhadap kesan insulin. Sampai satu tahap pancreas dah mencapai tahap optimum untuk menghasilkan insulin, insulin terus dirembeskan tetapi sel-sel dan otot badan tak mahu menerima kemasukan gula sebab dah muak dan kebal dengan kesan insulin maka kesannya, paras glukosa akan tinggi di dalam darah. Kandungan glukosa dalam darah yang tinggi akan menyebabkan gula berlebihan keluar melalui air kencing. Kepekatan air kencing akan menjadi tinggi, akibatnya sistem penyerapan semula air kencing di buah pinggang tak dapat berfungsi - kesannya individu akan kerap kencing. Badan pun kurang air, menyebabkan dahaga. Dan perut akan sentiasa lapar sebab glukosa tak dapat diserap dan digunakan oleh sel dan otot lantaran kesensitifan terhadap kesan insulin menurun. Darah yang sentiasa pekat dengan gula - menyebabkan luka susah sembuh sebab darah yang kaya dengan glukosa disukai oleh bakteria. Bila keadaan begini berpanjangan - maka ucapkanlah selamat datang kepada diabetes mellitus type 2.

Baiklah, sekian kelas biology untuk hari ni.

Akhir kata, bersyukurlah, berterima kasihlah pada Tuhan yang menjadikan korang kalau hari ni korang masih boleh mengunyah, menggigit, mengisar makanan, menelan makanan dan minuman melalui mulut korang, langsung melalui tekak, esofagus dan akhirnya sampai ke gastric (gastric = perut, kalau sakit perut yang serius sampai berdarah dalam perut itu namanya gastritis). Sebabnya masa korang tengah sedap2 makan dan minum tu, akan sentiasa ada manusia lain yang berlapar sebab tak cukup makanan, atau tak cukup duit untuk dapatkan makanan. Ada yang bertarung nyawa atas katil di hospital, tak sedar diri dan koma sampai makanan terpaksa diberi dalam bentuk total parenteral nutrition, langsung disalur melalui catheter yang dicucuk ke salur darah. Dan jangan berlebihan dalam aktiviti makan.



Share |

20 April 2011

Riddle of heaven and hell

Memandangkan teka-teki ni dah lama berkelintar di alam manusia ni,mungkin ramai yang dah tau jawapan. Bagi yang dah tau jawapan - tolong la buat2 tak tau dan bagi peluang orang yang tak tau cuba menjawab.



Ada dua buah pintu. Satu pintu menghala ke neraka, satu lagi pintu syurga. Setiap pintu dijaga oleh seorang penjaga pintu. Seorang daripada penjaga pintu tu sentiasa bercakap benar, seorang lagi akan sentiasa bercakap bohong. Sekarang kamu ingin masuk ke dalam syurga. Jadi kamu boleh bertanya soalan kepada kedua-dua penjaga pintu tu dengan syarat - cuma satu soalan je boleh ditanya pada setiap penjaga pintu, tak boleh lebih daripada satu soalan. Selepas itu kamu perlu memilih salah satu pintu untuk dibuka - selepas kamu buka pintu tu kamu perlu terus masuk - no turning point.

Apa soalan yang patut ditanya pada penjaga-penjaga pintu tu untuk membolehkan kamu masuk ke syurga?



Share |

19 April 2011

Aurora

Angin solar bercas positif dan negatif dari atmosfera matahari meluru laju ke arah bumi, natijah tarikan graviti bumi kemudian melanggar atom-atom nitrogen dan oksigen. Elektron dalam atom nitrogen dan oksigen pun tersentak, langsung teruja sampai terkeluar daripada orbital yang lebih tinggi. Kemudian elektron yang tercampak ke orbital luar turun kembali ke orbital asal - sambil memancarkan gelombang tenaga, terintepretasi sebagai cahaya biru, hijau, merah, coklat..

Maka kita pun menyaksikan aurora.

Maka manusia pun kenal akan cas elektrik. Maka manusia pun kenal akan gelombang magnet. Maka aurora pun jadi petunjuk pada yang mahu berfikir.




















Share |

Hormon-Hormon Cinta

Ohaiyok! Tahukah anda dengan membaca boleh membakar kalori sebanyak 10% lebih banyak dan cepat berbanding anda duduk di hadapan televisyen melangok menonton perlawanan bola sepak sebanyak 3 match berturut? Jadi, ayuh kita banyakkan membaca dan jadi slim-melim seperti saya. *senyum nipis* okay saya tak slim pon, saya gebu, saya ok!

"Love is empty cup, it takes time to fill it up, even when you can't see it, you can feel it lift in you."
 (Meg & Dia - Love is)

Rasa keapungan mendadak dan ketenangan yang anda rasakan semasa jatuh cinta bukanlah perkara ajaib atau kisah pari-pari. Kelenjar dalam badan anda bekerja keras mengeluarkan hormon-hormon dan koktel kimia yang tertentu untuk memenuhi tuntutan daripada otak anda (yang menghantar transmisi) sekaligus 'memujuk' anda jatuh cinta. Boleh kita katakan, otak anda yang mencipta perasaan cinta tersebut. Dengan izinNya, bantuan hormon hormon inilah telah membantu kaum manusia untuk terus berkembang sehingga sekarang. Lagipun cinta hanya mengambil kurang 4minit untuk kita tahu sama ada kita tertarik atau tidak kepada seseorang itu. 

Menurut pakar daripada Universiti Rutger, USA, terdapat tiga tahap proses jatuh cinta iaitu:

Tahap Pertama : Nafsu
Ini adalah tahap di mana cinta didorong oleh hormon seks iaitu hormon testosteron dan estrogen bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Testosteron di rembes secara utama di testis (lelaki) dan ovari (perempuan).

Tahap Kedua : Tarikan
Pada tahap ini biasanya anda dalam keadaan gila bayang. Si dia berada di dalam ingatan di setiap saat anda melakukan segala jenis aktiviti. Bak kata Merong Mahawangsa mandi tak basah, makan tak kenyang. cewah!
terdapat tiga hormon utama yang memainkan peranan iaitu

Adrenalin
Tahap permulaan anda jatuh suka pada seseorang biasanya akan menyebabkan anda berada dalam keadaan stress atau cemas, urat darah anda akan menampung kelajuan adrenalin dan cortisol pada tahap maksima. Muka anda naik berseri-seri dan mulalah bertenaga. Apabila anda bertemu si dia, anda akan merasa panas, berpeluh, jantung berdegup kencang dan mulut terasa kering. (oh percayalah anda tak perlukan rawatan cpr untuk membasahkan rongga mulut anda, minum air banyak2, istighfar lebih2 sikit)

Dopamine
Dopamine adalah neurotransmitter (messenger) di dalam otak. Bahan kimia ini merangsang rasa 'keinginan dan penghargaan' dengan cara mencetuskan rasa nikmat atau kepuasan dalam diri. Apabila dopa diambil secara oral, ianya boleh mengubati penyakit Parkinson (Parkinson Disease) dengan menambah baik kecekapan saraf. Sebab itulah orang kata dengan cinta, Parkinson Disease boleh diubati.

Kesan dopamine adalah anda tidak mudah merasa penat, pertambahan tenaga, kurang rasa mengantuk atau rasa lapar, lebih fokus dan rasa tenang semasa dalam perhubungan.

Serotonin
Serotonin adalah hormon yang bertindak sebagai kimia penghantar di antara saraf. Walaupun serotonin dikeluarkan di bahagian tertentu di dalam otak tetapi serotonin juga banyak dijumpai di bahagian sistem pencernaan dan platelet darah. Perubahan tahap serotonin dalam badan boleh mengubah mood seseorang. Contohnya apabila kita cepat marah. Oleh itu sebelum ber-chat bersama si dia pastikan anda makan terlebih dahulu kurang setengah jam sebelum bersama si dia, or you'll end up being an angry bird.

Tahap ketiga : Sentuhan
Sentuhan merupakan ikatan yang boleh mengeratkan silaturtahim sesebuah hubungan. Terdapat dua jenis hormon yang memainkan peranan penting iaitu;

Oxytoxin - The Cuddle Hormone
Fungsi Oxytoxin yang bertindak sebagai neuromodulator di dalam otak, berkait rapat dengan perempuan di mana hormon ini lebih banyak dikeluarkan ketika bersalin dan rangsangan payudara oleh bayi untuk mengeluarkan susu secara otomatik. *Sebab itu jika perempuan bujang dan ingin menyusukan anak angkatnya yang masih bayi itu pon boleh mengambil suntikan hormon oxytocin untuk membantu pengeluaran susu badan*. 

Selain itu hormon ini juga dirembes oleh lelaki dan perempuan ketika orgasm berlaku. Teorinya, semakin kerap perhubungan seks diadakan semakin kuat ikatan kasih sayang mereka. (oh,parental guidelines please)

Vasopressin
Vasopressin juga dikenali sebagai anti-diuretic hormon yang membantu buah pinggang bagi mengawal jumlah air dalam badan. Ianya dirembes oleh otak ketika dan selepas perhungan seks berlaku dimana boleh membantu mengekalkan pola aktiviti perhubungan antara pasangan seksual masing-masing. Lelaki akan bertindak lebih agresif terhadap pencabarnya dan berupaya meningkatkan kesetiaan terhadap pasangannya. Jadi, jika suami anda mula nampak seperti kurang ambil peduli jika anda keluar dengan lelaki lain, tingkatkan vasopressin dia! 

Dengan bantuan hormon-hormon tersebut, jika anda berkahwin paksa sekali pun, jika kena caranya, menjadi jugak. Oleh itu, tiada apa yang kebetulan di dalam dunia ini. Semuanya telah diatur cantik oleh Allah swt. Sains itu adalah sebahagian daripadaNya dan inilah sains percintaan. Renung-renungkan dan selamat beramal.

اللهم إني أسألك حبك وحب من يحبك وحب ما يقرني إليك وأدخلني الجنة مع الحب
Ya Allah, aku memohon kecintaanMU, kecintaan orang yang sentiasa mencintaiMU, kecintaan apa sahaja mendekatkan diriku kepadaMU, dan masukkanlah aku ke syurga bersama-sama kecintaan itu..

 



Share |

Big-Bang : Selamat Terjadi


Setiap perkara yang mula-mula terjadi pastinya bermula dengan ledakan. Seperti mana alam semesta ini wujud yang di teorikan dengan kejadian Big-Bang. 

Ledakan bukan saja bermaksud suatu letupan semata-mata. Tetapi ia bersandar kepada dasar keperluan. Alam semesta tercipta kerana dasar keperluan. Mungkin dasar keperluan Maha Pencipta.

Big-Bang merupakan sebuah teori yang menerangkan penciptaan alam semesta berdasarkan permodelan suatu ruang yang panas dan padat. Dan ya, alam semesta ini sebenarnya sentiasa membesar dan mengembang. Berdasarkan pengukuran 2009, alam semesta ini telah tercipta kira-kira 13.7 juta tahun lalu. Pengukuran tersebut sehingga kini di akui sebagai pengukuran komprehensif dan tepat.

Bagi pemahaman seorang ahli sains. Big-Bang merupakan suatu teori yang 'meng-ada-kan sesuatu yang tiada'. Buktinya, ruang angkasa alam semesta sebenarnya di penuhi dengan gas helium dan hidrogen. Kedua-dua gas ini adalah unsur gas yang terhasil dari sebuah letupan. Ia adalah sebuah radiasi dari hasil letupan penciptaan alam semesta berjuta tahun lampau.

Walau apapun, Big-Bang tetap menjadi suatu dogma bagi sesetengah orang yang menolak prinsip penciptaan alam atas kudrat Tuhan. Blog ini akan merungkai pelbagai hal-ehwal sains dalam mengembangkan pemikiran manusia ke tahap yang lebih jauh sejajar dengan teori pengembangan Big-Bang. Selamat Terjadi!



Share |
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...